Author: Stacy Ann
•9:53 AM
"Jangan lupa balik sini tau. Kalau boleh, balik cepat cepat. Aku bosan lah kat sini seorang seorang. Cath pula dah pergi Scotland." Pesan Ana kepada Shireen apabila dia menghantar kawannya itu ke LCCT.


"Ye, cik puan. Nanti bila saya nak balik sini, saya bagitau," jawab Shireen sambil tersenyum melihat kawan sebiliknya itu. Sepanjang enam bulan mengenali Ana, dia cukup suka dan senang dengan kawan barunya itu. Bagi Shireen, Ana adalah seorang yang rendah diri walaupun dia anak seorang tokoh korporat yang terkenal. Pertama kali dia mengikut Ana balik ke rumahnya di Damansara, dia terpegun melihat betapa besarnya rumah tersebut sampai dia tergamam. Ibu bapa Ana juga orang yang rendah diri dan sederhana. Mereka tidak menunjuk nunjuk kekayaan yang dimiliki. Setiap hari, Ana akan membawa Myvi hitamnya ke kuliah selepas dia menurunkan kawan kawannya yang lain. Memandangkan blok kuliah Kejuruteraan berada di luar kampus, memang wajar bagi Ana untuk membawa keretanya. Jika hanya mengharapkan bas universiti, memang lambat lah jawabnya.


"Baik engkau boarding sekarang. Dah calling tu." Shireen tersentak dari khayalannya apabila Ana menyikunya.


"Bah. Saya jalan dulu." Shireen menjawab dengan loghat Sabahnya sambil memeluk kawannya itu. "Apa apa saya call nanti. Jaga diri baik baik," pesan Shireen sebelum masuk ke balai berlepas.


Shireen adalah kawannya yang terakhir pulang untuk cuti semester. Feeza awal-awal lagi sudah pulang ke Ipoh. Selepas kertas terakhirnya habis, malam itu juga dia balik menaiki bas ekspres. Jessica pula pulang ke Sarawak dua hari selepas Feeza pulang ke Ipoh. Dia ingat lagi bukan main seronok Jessica pada hari sebelum dia balik. Memang tidak lena tidur kerana terlampau teruja.


Selepas melihat Shireen masuk ke balai berlepas, Ana berganjak untuk menuju ke pintu keluar. Tanpa dia sedari, di sanalah juga dia bertemu dengan seseorang yang akan merubah kehidupannya untuk selama lamanya.


"Oi, beg hang nak tinggai kat sini ja ka?" Jerit salah seorang daripada sekumpulan kawan kawan yang menaiki teksi. Ternyata yang disebut itu begitu teruja untuk menaiki kapal terbang sampai beg pun terlupa.


"Sorry sorry. Excited sangat ni nak balik. Tambah lagi naik kapal terbang. Tak payah aku tunggu lima jam nak sampai Alor Setar," jawab empunya beg tersebut sambil mengangkat begnya dari ruang teksi.


"Ye lah tu. Kalau ye pun, jangan lah tinggaikan beg hang macam tu. Kalau kena angkut orang apa hang nak cakap? Tak sabar nak balik konon. Tak sabar nak balik ke tak sabar nak jumpa buah hati?" Sindir kawannya tadi.


"Ye lah. Ye lah. Dah nak balik pun membebel macam makcik. Memang aku nak balik jumpa mak aku. Dan .... jumpa buah hati sekali," empunya beg itu mengomel dan tersenyum senyum. "Sim, hang balik Ganu bila balik sini lagi?" Dia bertanya kepada kawannya yang berdiri di sebelah.


"Hujung bulan rasanya." Kawannya menjawab. "Kau bila balik sini?"


"Aku balik awal rasanya. Naik bas. Malas nak berebut dengan orang jadi aku balik awal." Dia berpaling pula kepada kawannya yang seorang lagi. "Oi tokei. Hang bila pula balik sini?"


"Aku biasa lah. Ikut tiket kapal terbang. Balik sekali dengan bini aku." Kawannya yang seorang itu menjawab dan tersengih. "Aku pergi dulu. Dah final call. Nanti sampai sini aku call." Kawannya berkata sambil bersalam dengan semua kawan kawannya sebelum melangkah masuk ke dalam balai berlepas.


"Jalan elok elok. Jangan sampai terlanggar orang. Kalau terlanggar anak dara orang susah. Tak ada insurance coverage tu." Sakat empunya beg tadi selepas bersalaman dengan kawannya. "Semua orang dah balik. Lepas tu sebulan baru lah kita jumpa lagi." Dia berkata dengan hibanya.


"Awat hang ni? Tiba tiba sedih. Kalau hang rindu kat aku, hang pi bawak kereta mai Penang jumpa aku. Habis cerita." Kawannya yang berdiri di sebelah berkata sambil menepuk bahunya. Kawan yang seorang lagi tergelak melihat gelagat mereka berdua.


Ana Farhanna yang berjalan membelakangi mereka tidak boleh menahan ketawa bila dia mendengar celoteh empat orang sekawan itu. Dia tersenyum kambing seorang diri. Dia menoleh untuk melihat kelibat tuan punya suara yang riuh tersebut. Pasti student yang balik cuti, bisik hati kecilnya. Tanpa dia sedari, dia sedang diperhatikan oleh seseorang. Mata tersebut memandangnya sampai dia hilang dari pandangan.


"Lawa juga awek tu." bisik tuan punya beg tadi kepada dirinya sendiri.


"Oi, jom masuk. Kapal terbang tak tunggu orang." Dia tersentak dari lamunannya. Dia tersenyum seorang diri sambil mengangkat begnya lalu masuk ke balai berlepas bersama sama kawan kawannya. Bayangan perempuan yang diperhatikan tadi tinggal bayangan semata mata. Mana mungkin dia akan berjumpa dengan perempuan itu lagi.


Seperti Ana, dia juga tidak sedar bahawa dia sudah berjumpa dengan seseorang yang akan merubah segala galanya. Hanya menunggu hari dan tikanya mereka akan bertemu semula. Yang pasti, hidup kedua dua mereka akan merubah sama sekali dan tiada siapa akan menyangka begitu.
|
This entry was posted on 9:53 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: