Author: Stacy Ann
•8:20 AM
Enam bulan telah berlalu, tiba masanya untuk semua pusat pengajian tinggi menghadapi peperiksaan akhir semester sebelum sesi pembelajaran bercuti semester. Pada masa inilah semua pelajar tekun mengulangkaji pelajaran mereka. Boleh dikatakan semua tempat lepak para siswa siswi kosong disebabkan semua ingin mengulangkaji. Suasana kawasan asrama pun sunyi sepi tanpa gelak ketawa penghuni penghuninya. Jika ada pun, mereka mengambil angin atau tengah merehatkan minda. Sebab peperiksaan begini lah permulaan untuk melihat sejauh mana mereka boleh memahami apa yang dibelajar selama enam bulan dan keputusan dari peperiksaan inilah yang akan menentukan kelas ijazah mereka apabila tamat pengajian nanti.


Ana serta teman sebiliknya tidak terlepas daripada peperiksaan yang akan menentukan pencapaian mereka untuk sesi tersebut. Masing masing menghadap timbunan buku dan nota nota kuliah. Masing masing ingin mendapat gred serta CGPA yang tertinggi. Jika dulu, bilik mereka akan riuh dengan gelak ketawa, kini suasana bilik itu menjadi serius. Yang berbunyi hanyalah bunyi radio Jessica yang sememangnya dipasang untuk tidak menjadikan keadaan begitu stres. Lagipun, dia suka mendengar radio sambil mengulangkaji. Tetapi dia tahu untuk memperlahankan bunyi radio tersebut supaya tidak menganggu kawannya yang lain.


Pada malam sebelum peperiksaan bermula, Ana berdoa agar dia diberi kekuatan dan kebijaksaan semasa melalui peperiksaannya. Dia seboleh bolehnya tidak mahu menghampakan dirinya sendiri dan juga menghampakan impian kedua orang tuanya. Lama dia bersujud di atas tikar sembahyangnya apabila teman teman sebiliknya masuk untuk mengajaknya pergi makan malam.


"Ana, ada orang kirim salam kat awak." Jessica memberitahu sambil meletakkan pinggan makanannya di atas meja. Ana memandangnya dengan riak wajah yang penuh dengan persoalan. Dua teman sebiliknya pula memberikan reaksi ingin tahu siapakah yang baru diperkatakan oleh Jessica.


"Siapa?" Ana bertanya.


"Budak kelas saya." Jawab Jessica bersahaja.


"Wah! Ana. Sampai budak Medic yang building diaorang jauh dari building engkau pun boleh tahu pasal engkau?" tanya Shireen sambil tersenyum kambing.


"Ye lah tu. Pandai aja engkau engkau ni.Tak kan lah budak Medic boleh kenal budak Engineering yang building dia kat luar kampus." Sahut Ana seolah olah bersetuju dengan kenyataan Shireen tadi.


"Ala Ana. Kalau hati dah berkenan sampai hujung dunia pun orang tu akan cari. Tak begitu Jess?" Feeza berkata menyokong seratus peratus Jessica. "Lagipun Ana, engkau tu lawa. Tinggi pula tu. Siapa yang tak teruja," tambah Feeza lagi sambil tersengih sengih.


"Jess, bagitau lah nama pemuda yang bertuah ni. Nak juga kitaorang ni tau. Mana tau kalau si Ana kita ni tak berkenan. Boleh juga pass kat kitaorang ni. Walaupun kitaorang tak setinggi dan selawa cik Ana Farhanna kita ni." Shireen menambah minyak sambil tersengih sengih.


"Nama dia Azizan. Hensem. Tinggi. Putih. First time saya tengok dia dalam kelas, memang saya minat kat dia. Tapi... ye lah. Siapa yang nak pandang kat saya ni. Saya bukannya tinggi dan lawa macam cik Ana kita ni...."


"Hoi hoi hoi.....setiap sifat fizikal kita adalah kurniaanTuhan kepada kita. Dah. Si Azizan engkau tu. Pernah ke dia tu nampak aku? Atau engkau tu saja nak serkap jarangkan aku?" Ana bertanya sambil mengunyah makanannya. Teringat dia pesanan ibunya supaya jangan bercakap dengan mulut yang penuh. Tapi seperti biasa, dia akan terlupa.


"Laaa....kan kita semua orientasi pada hari yang sama. Mestilah dia pernah nampak awak. Dia kata lagi, dia selalu nampak awak kat library." Jelas Jessica sambil mengangkat bulu keningnya sambil tersengih sengih.


"Amboi Ana. Boleh tahan engkau. Pergi library pun ada peminat. Aku ni hari hari pergi library pun tak ada orang yang minat. Dah lah lecture hall kat tengah tengah kampus tu pun tak ada orang yang berminat." Tambah Feeza seolah olah mengeluh dengan nasibnya itu.


"Wow. Macam iklan Brands tu. Yang lelaki tu nampak mata perempuan tu and then terus jatuh hati." tambah Shireen lagi sambil menepuk tangannya


"Ye ke? Tak tau pula aku. Aku pergi library sebab nak cari rujukan. Bukannya nak mencari jodoh cik kak oi." Sahut Ana. "Tapi kan Jess. Engkau bagitau kat ...siapa nama dia? Azizan? Azizi? Lain kali kalau pergi library tu, buka mata tengok buku. Bukan tengok awek. Lagi satu, kalau kirim salam macam ni, aku tak main lah. Kalau nak, suruh dia datang jumpa aku face to face." Tambah Ana lagi sambil melihat reaksi Jessica yang sedang seronok mengunyah makanannya.


"Amboi Ana. Sampai tahap macam tu sekali?" Feeza menjawab apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Ana.


"Sebab aku pun nak juga tengok rupa dia macam mana. Tu lah aku suruh dia datang tunjuk muka kat aku. Kalau setakat tengok aku kat library, ramai je yang tengok aku kat library. Maner tahu nanti mata dia juling ke, gigi dia rongak ke. Siapa nak menjawab?" Ulas Ana lagi. "So, Jess? Engkau rasa rasa boleh sampaikan tak mesej aku kat kawan engkau tu?" Tambah Ana sambil melihat Jessica lagi.


"Besok akan aku khabarkan kat Azizan. Tengok reaksi dia macam mana. Mau terkencing seluar mamat tu." Jessica ketawa besar apabila mendengar pesanan Ana yang sedemikian rupa.
|
This entry was posted on 8:20 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: